Friday, January 21, 2011

Persaudaraan Kita Sepatutnya Membangunkan Ekonomi Umat






Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong antara satu sama lain dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan, nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai ‘perkauman’. Suara itu dinyatakan kepada saya kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu sedaya mungkin membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh saudara-saudara muslim kita. Saya katakan; saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor.

Antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama di sudut sebagai kuasa pengeluaran. Sedangkan kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi. Juga seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim.

Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu yang memerlukan satu kajian luhur mengenai hal tersebut. Di samping itu, kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Sama ada disebabkan oleh faktor kualiti, atau perasaan yang lain, saya kurang pasti. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Dunia Islam Lemah

Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak, tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik Dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan:

“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”. (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah)

Ini realiti yang berlaku. Maka jangan kita tanya, mengapa ramai ‘pak arab’ yang tabik tidak henti-henti dengan Barat. Ekonomi kebanyakan dunia Islam dijajah. Maruah kita menjadi rendah. Kita hakikatnya hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, namun negara umat Islam ramai yang masih meminta sedekah.

Senjata Ekonomi

Keadaan ini benar-benar mendesak, bahkan kita dalam keadaan darurat yang menuntut agar setiap kita berfikir membantu menaikkan kekuatan ekonomi umat Islam. Dunia hari ini sudah berubah dibandingkan dahulu. Bukan hanya kekuatan persenjataan yang menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara itu terhadap percaturan dunia. Bahkan ekonomi juga memainkan peranan penting dalam menentukan perubahan peta. Firman Allah dalam Surah al-Anfal: 60:

(maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh-musuh umat. Kekuatan yang mesti disiapkan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda adalah salah satu daripadanya yang dapat dilihat oleh manusia di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu. Pada zaman sekarang dari segi persenjataan, senjata-senjata canggih yang wujud pula menduduki tempat tugasan menggerunkan musuh. Maka umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu kekuatan ekonomi juga adalah senjata baru dalam membina kekuasaan di era moden. Kekuatan ekonomi mampu membawa kepada hasrat yang sama iaitu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi di zaman ini adalah satu tuntutan agama.

Produk Muslim

Malangnya kita cuai dan alpa. Kita ketinggalan dan dihina. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.

agro-bazar.jpg

Agro Bazar

Peranan Akidah

Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah mengujudkan rangkaian ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah islamiyyah) yang kukuh sesama kita. Di atas akidah yang teguh ini jugalah telah menjadikan umat ini dahulunya bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam. Ini rahsia kejayaan umat yang lalu.

Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan yang lain, termasuk dalam bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb:

(Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa Dunia Islam.. kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu‘asir, m.s. 172, Saudi: Muassasah al-Madinah)

Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedang ini adalah sesuatu yang dituntut: Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadith ini, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta perasaan mengambil berat sesama antara satu sama lain. Baginda S.A.W. memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas:

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.( Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi` wa Qawa‘id ‘Ammat, m.s. 134, Beirut, Dar al-Fikr).

Persaudaraan Islam

Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasululuh S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuh dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Sabda Nabi s.a.w :

ayat3.jpg

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tolong menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Namun sekira ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah dari orang lain dan Islam akan dipandang hina. Dr Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith di atas, menyebut:

Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, dia semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa. (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, 1/ 199, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita akan menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita ingin mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?.

Malanglah bagi kita ini jika sekadar tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran. Bahkan dalam soal ekonomi, jika tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Ukhuwwah Islamiyyah lebih penting. Sebab itu saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.

Gambar Hiasan

Kekuatan Kita

Sekiranya kesedaran ukhuwwah islamiyyah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Ini saya katakan berdasarkan faktor-foktor berikut:

Kuasa Membeli Yang Tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada -secara kelompok- mereka memiliki kuasa membeli yang tinggi. Ini kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa

Isu Halal Haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal telah menimbulkan keresahan kebanyakan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal berdikari dalam menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.

Ketegangan Yang Wujud : Ketegangan yang wujud sekarang antara Blok Barat dan umat Islam boleh membantu ke arah mengujudkan umat yang lebih memiliki jatidiri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab ramai yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.

Jika ukhuwwah Islamiyyah itu benar-benar dapat digilapkan sehingga ke peringkat penghayatan dalam bidang ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jatidiri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa. Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim di zaman ini.

sumber:http://drmaza.com/home/?p=1343#more-1343




Wednesday, July 28, 2010

JAKIM Perlu Perkenalkan Logo HARAM




1. Kini lambakan barangan atau produk haram bagi ummat Islam kian bertambah malah semakin membimbangkan ummat Islam . Lebih malang terdapat produk yang menggunakan logo halal secara palsu.

2. Fenomena ini mencetus kekeliruan dan memerangkap ummat Islam dalam persaingan dunia perniagaan yang tidak bertanggungjawab .

3. Selain tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan berkuasa agama seperti JAKIM , pihak berwajib ini juga mesti berani untuk mengisytiharkan produk - produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan ummat Islam .

4. Setelah rakyat dididik dengan logo halal untuk menarik masyarakat pengguna agar mengambil dan menggunakan barangan halal , saya kira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo Haram untuk menjauhkan masyarakat ummat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram .

5. Sebelum ini , telah banyak kali kita dengar pihak tertentu memalsukan logo halal untuk melariskan jualan mereka justeru mereka melihat logo halal boleh menarik orang untuk membeli barangan mereka biarpun tidak menepati piawaian barangan halal , sementara pihak JAKIM tidak mempunyai skuad yang memadai untuk membuat pemantauan yang serius.

6. Saya jangka , andainya JAKIM mengisytiharkan produk - produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo Haram jika mereka berkeras juga untuk menjual produk tersebut , peluang untuk lambakan barangan haram dipasaran akan menjadi lebih kecil . Pasti tiada siapa yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo Haram jika mereka benar - benar mahu mencari produk halal di pasaran.

7. Sebahagian besar pengguna tidak mampu untuk mengenali dan mengetahui kod - kod barangan yang haram seperti produk yang mempunyai gelatin dan sebagainya termasuk produk haram yang diimport dari Israel. Kod - kod barangan yang mengandungi bahan - bahan haram hendaklah diganti dengan logo Haram.

8. Jika logo Haram dapat dikuatkuasa , maka mudahlah bagi JAKIM yang selalu menyatakan bahawa mereka mengalami kekurangan tenaga untuk memantau , justeru produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran .

9. Risiko pemalsuan logo Haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal . Lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna .

10. Kaedah Islam , asal sesuatu perkara [ produk ] ialah halal kecuali telah datang nas yang jelas mengharamkannya atau produk itu bercampur dengan bahan dan unsur haram . Ertinya yang haram ini jumlahnya jauh lebih kecil dari jumlah produk yang halal . Sepatutnya yang haram itulah diletakkan logonya iaitu Logo Haram bukan logo halal .

Gambar di atas saya cadangkan sebagai Logo Haram atau selainnya terpulang kepada pihak JAKIM .



Saturday, June 26, 2010

Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masakini


Penulis : Prof Dr. Yusof al-Qardhawi

Sebuah buku kecil yang padat dengan pendapat dan pandangan konkrit dari seorang ilmuan terkemuka abad ini. Meneliti hujah-hujah dan kritikan pedas Dr Yusuf al-Qardhawi seharusnya menyedarkan kita umat Islam yang terlena berabad lamanya kerana sebagai umat terbaik yang dilahirkan untuk seluruh manusia ini tidak sepatutnya kita menjadi beban kepada orang lain bagi memenuhi keperluan hidup kita baik di bidang ekonomi, ketenteraan dan lain-lain. Kita adalah umat yang banyak bercakap tetapi sedikit bekerja, jadi tidak hairanlah kita umat Islam yang berjumlah 1.6 billion bertekuk lutut di bawah si Yahudi yang hanya berjumlah tiga juta!

Umat Islam Yang Lupa Diri

Umat Kita Dilihat Dari Kemajuan Material

Kekuatan Akal Kita Sia-siakan

Kekuatan Amal Kita Disia-siakan

Kekuatan Ekonomi Kita Disia-siakan

Kekuatan Tenaga Kita Sia-siakan

Kekuatan Jiwa Kita Sia-siakan

Tanggungjawab Para Penguasa

Tanggungjawab Para Ulama’

Tanggungjawab Masyarakat

Pergerakan Islam

Tiada Penghisaban Diri

Perpecahan Dan Perselisihan

Kurangnya Penyelidikan dan Program

Terburu-buru

Berlebih-lebihan

Takut dengan Pembaharuan

Mari Bercita-cita dan Bekerja

Sebahagian Kejayaan Pergerakan Islam

Perlu Banyak Bekerja dan Pengorbanan

Bekerja Untuk Memikat Tokoh dan Masyarakat

Menyuluh Kebangkitan Islam

Panduan Utama Penyuluh Kebangkitan

Kerja Kemasyarakatan

Kerjasama Lapisan Masyarakat

Penutup

BAHAGIAN 1: UMAT ISLAM YANG LUPA DIRI

Apabila kita meneropong umat kita dengan menggunakan teropong Allah s.w.t. yang terdapat dalam al-Quranul Karim, maka kita akan menemukan umat itu sebagai umat lain, bukan sebagai umat al-Quran yang dilukiskan oleh Allah s.w.t. sebagai umat terbaik, yang dijelaskan alasan terbaiknya kerana mereka menyeru orang berbuat makruf dan mencegah orang berlaku mungkar, serta beriman kepada Allah s.w.t.

Ia melihat makruf sebagai sesuatu yang mungkar dan melihat yang mungkar sesuatu yang makruf. Malah lebih dari itu, ia menyuruh orang berbuat mungkar dan mencegah mereka berbuat makruf, sehingga dilanda fitnah yang tidak ditemukan hujung pangkalnya, yang membuat intelektual muslim menjadi bingung.

Secara ringkas dapat dikatakan bahawa umat kita telah melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada dirinya sendiri dan Maha Besar Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada diri mereka sendiri” (al-Hasyr: ayat 19)

UMAT KITA DILIHAT DARI KEMAJUAN MATERIAL

Umat Islam selalu saja menjadi beban bagi umat-umat yang lain dalam memenuhi keperluan hidupnya, baik di bidang ekonomi, ketenteraan atau bidang-bidang lainnya. Ia belum pandai memproduksi keperluannya sendiri atau untuk memproduksi keperluan senjatanya untuk melindungi kedaulatan dirinya sendiri.

KEKUATAN AKAL KITA DI SIA-SIAKAN

Kekuatan akal kita sia-siakan, kerana kita bagaikan burung tiung hanya suka meniru. Kita tidak mahu berijtihad, tidak suka mencipta sendiri, tidak kreatif, senang menghafal daripada berfikir dan lebih senang mengutip fikiran orang lain, baik fikiran pendahulu kita ataupun masyarakat lain, kerana kita menganggap tidak perlu bersusah payah berfikir sendiri.

Suatu ketika dahulu Moshe Dayan (bekas Menteri Luar Israel), menyatakan secara terbuka cita-cita dan keinginan negaranya. Dia mendapat serangan dan kecaman dari bangsanya, kerana mereka khuatir pernyataanya itu dibaca oleh bangsa Arab (umat Islam) dan rencana jahatnya diketahui. Namun dengan tenang ia menjawab serangan kaumnya, katanya: “Tenanglah, pecayalah padaku, bangsa Arab (dan juga Melayu –Pent) tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca”.

Inilah kenyataan pahit yang dimiliki suatu umat yang ayat pertama dalam kitab yang diturunkan kepadanya memerintahkan; “Iqra” (bacalah).

Ternyata mereka malas dan tidak suka membaca. Kalaupun membaca, mereka tidak pandai memahami, kalaupun memahami, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

KEKUATAN AMAL KITA DI SIA-SIAKAN

Amat menyedihkan, umat kita merupakan umat yang paling sedikit dalam berbakti dan amal perbuatannya, tetapi yang paling banyak bercakap dan berdebat. Kita banyak bicara dan sedikit kerja. Andaikata bekerja, kita hanya mengerjakan sesuatu yang kurang penting dan meninggalkan yang penting, malah kadang-kadang kita mengerjakan yang tidak bermanfaat sedikitpun.

Saya banyak mengikuti seminar Islam dan banyak keputusan yang sudah disepakati untuk dilaksanakan, tetapi sedikit sekali yang dilaksanakan dan sebahagian besar hanya di atas kertas.

KEKUATAN EKONOMI KITA DI SIA-SIAKAN

Kekuatan ekonomi kita disia-siakan, padahal kita hidup di bumi terbaik, yang paling baik daerahnya, paling subur tanahnya, paling kaya bahan galiannya, tetapi kita tidak memanfaatkan kekayaan itu.

KEKUATAN TENAGA KITA SIA-SIAKAN

Kekuatan tenaga manusia kita sia-siakan, meskipun kita selalu membangga diri dengan jumlah yang sangat ramai, tetapi apalah ertinya jika membuat hal masing-masing tanpa mempedulikan orang lain.

Seharusnya kita mengambil manfaat dari kekuatan tenaga manusia (manpower) kita, seperti yang dajarkan Jamaluddin al-Afghani kepada bangsa India dahulu. Katanya: “Jika kekuatan jutaan kamu itu berupa lalat yang meraung-raung di telinga Inggeris, tentu kamu akan berhasil memecahkan telinga mereka”.

KEKUATAN JIWA KITA SIA-SIAKAN

Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat “Rabbaniyah” ke dalam jiwa kita. Tepat sekali apa yang dikatakan penyair dan pemikir Islam, Muhammad Iqbal, ketika mengatakan tentang “sekolah-sekolah moden”, bahawa ia boleh membuka mata generasi muda untuk mempelajari berbagai hakikat dan pengetahuan, namun ia tidak mengajari matanya bagaimana menangis dan tidak mengajari hatinya supaya khusyuk.

Musibah paling tragis yang menimpa umat kita dewasa ini ialah menjadikan agama sebagai permainan dan senda gurau dan menjadikan permainan dan senda gurau sebagai agama!

Bagaimana tidak, kita telah tergila-gila menghiasi tembok masjid dengan ayat-ayat al-Quran, tetapi tidak menghias kehidupan kita dengan al-Quran. Kita membacakan al-Quran untuk orang-orang mati, tetapi tidak mengajarkannya kepada orang-orang hidup! Kita berusaha memiliki al-Quran, membawanya berkah, padahal berkah yang hakiki terletak dalam mengikuti perintah-Nya dan menjauhi larangan Nya.

Saya selalu mengatakan dan akan selalu mengatakan, bahawa kunci keperibadian umat ini dan kebanggaan kekuatannya terletak pada keimanan kepada Islam, yang telah menjadikannya sejak dahulu sebagai umat terbaik yang dikirimkan untuk seluruh manusia dan telah memberikan kemenangan atas golongan kuasa besar, meskipun kekuatan tenaga manusianya sedikit dan kelengkapan senjatanya sangat minima.

Kita memiliki aqidah terbesar, risalah paling lengkap, kita memiliki kitab Ilahi satu-satunya yang terjaga dari kerosakan dan pemindaan oleh tangan-tangan jahat, namun kita dilanda lupa diri, tidak menyedari sumber tenaga dan kekuatan yang ada pada diri kita sendiri.

Rahsianya terletak pada penyakit yang merosak batin kita, berupa rasa cinta dan keinginan pada hal-hal yang gemerlapan, lebih senang hidup bermegah-megah yang dinamakan oleh hadith itu sebagai “wahan” dan ditafsirkan sebagai “Cinta dunia dan takut mati!”

Maka tidak menghairankan, kalau umat yang terbilang seribu juta itu, terdiri dari umat yang bertutut di bawah si Yahudi yang hanya berjumlah tiga juta!.

TANGGUNGJAWAB PARA PENGUASA

Memang pertanggungjawaban terbesar atas kesalahan-kesalahan yang telah menjerumuskan kita, terletak di bahu para penguasa kita.

Tetapi yang jelas juga bahawa para penguasa itu pada umumnya sama saja dengan rakyatnya, kerana mereka merupakan lambang keadaan masyarakatnya.

TANGGUNGJAWAB PARA ULAMA

Memang ramai ulama’ yang tidak menunaikan tugasnya dengan baik dalam menyampaikan agama Allah dan ada pula di antara mereka yang membonceng kenderaan pemerintah dan menjadikan ilmu ( agama ) sebagai hamba politik dan menjadikan dirinya seperti mesin pengeluar ‘fatwa’ , sesuai pesanan orang atasannya.

Sebenarnya ulama’ dewasa ini bukan lagi sebagai pemain tunggal seperti halnya pada zaman dahulu. Kerana pemilik media cetak, elektronik dan pusat-pusat penerangan nampaknya lebih kuat pengaruhnya dalam masyarakat, daripada ulama’ yang berpidato dari atas mimbar. Meskipun mereka masih memiliki pengaruh kuat yang tidak dimiliki oleh yang lain.

Salah seorang bertanya pada seorang penguasa tentang kekuatan al-Imam al-Hasan al-Bashri dan ketegasannya yang tidak tergoyah. Maka Gabenor negeri itu menjawab secara terus terang: “Kami perlukan agamanya, tetapi dia tidak perlukan dunia kami”.

TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT

Saya masih ingat, pada suatu hari seorang pendengar menegur gurunya selesai memberikan ceramahnya, katanya: “Saya telah mendengar dan mengikuti ceramah yang bapa berikan selama tiga puluh tahun, lalu apa yang telah bapa lakukan?”

Jawapan guru itu membuat muridnya terdiam, katanya, “Kalau telah tiga puluh tahun mendengarkan ceramahku, lalu sudah sejauh mana kamu melakukannya?”

BAHAGIAN 2: PERGERAKAN ISLAM

Pergerakan Islam ialah semua jemaah kerja yang berusaha untuk memperbaharui agama, dalam erti hendak melaksanakan hukum syariat dan menghidupkannya dalam peribadi umat, untuk mengembalikan kejayaannya yang gemilang dalam memimpin masyarakat dan melaksanakannya dalam berbagai lapangan hidup, baik di segi aqidah, ibadah, akhlak, muamalat ( jual-beli), dalam fikiran, perasaan, undang-undang, pengarahan masyarakat, dalam bidang eksekutif dan yudikatif.

Tetapi nampaknya, pergerakan Islam ini tidak berhasil merealisasikan apa yang dicita-citakan , sebagaiamana harapan umat dan sebagaimana yang selalu dilanung-laungkan oleh para pimpinannya.

TIADA PENGHISABAN DIRI

Keluhan pertama yang sangat dirasakan oleh para pakar dalam pergerakan Islam, bahawa usaha menghisab diri adalah sangat lemah, atau boleh dikatakan pada umumnya tidak ada.

Ulama’ zaman dahulu berkata: “Orang mukmin sangat keras memperhitungkan dirinya, lebih dari seorang penguasa yang diktator dan dari seorang sekutu yang kikir.”

PERPECAHAN DAN PERSELISIHAN

Salah satu penyakit pergerakan Islam moden adalah adanya perpecahan parah yang kita saksikan antara bahagian-bahagiannya yang beragam. Masing-masing merasa kebenaran itu hanya ada dalam jamaahnya saja, sedang di luar jamaahnya hanyalah kesesatan. Yang dapat masuk syurga dan selamat dari api neraka hanya dimonopoli oleh anggota jamaahnya, hanya dia saja yang merupakan “kelompok yang selamat”, selain dari itu termasuk kelompok yang sesat.

Alangkah baiknya jika masing-masing bebaik sangka terhadap yang lain, saling bertimbang rasa (toleransi) meskipun dalam keadaan yang berbeza, saling tolong menolong dan tegur menegur dalam berbuat makruf dan berdiri dalam satu barisan menghadapi masalah-masalah yang besar, iaitu kewujudan Islam dan penentuan hari depannya dan bersatu padu dalam menghadapi serangan musuh, baik dalam bentuk Yahudisme, Salibisme, mahupun berupa Komunisme, Kapitalisme dan Sekukarisme.

Pergerakan Islam tidak boleh mengabaikan individu-individu yang kuat bekerja di lapangan dakwah, meskipun mereka bekerja secara sendirian, hanya mempunyai pengaruh dalam lingkungannya dan pada murid-muridnya dan mereka masing-masing mempunyai sekolah dan pengikut. Sudah tentu ramai di antara mereka yang jujur dan ikhlas, yang mampu menggerakkan pendapat umum dan mengarahkannya, jika mereka mahu dan di dukung oleh pengarahan yang tepat.

KURANGNYA PENYELIDIKAN DAN PROGRAM

Kita harus sentiasa mengadakan penyelidikan tentang perkembangan keadaan umat Islam, keadaan pergerakan Islam dan keadaan serta kekuatan pihak yang memusuhi Islam. Semua keterangan dan maklumat itu, dianalisa secara ilmiah dan bertanggungjawab, sehingga diperoleh hasil yang diperlukan untuk digunakan sebagai acuan dalam melaksanakan langkah selanjutnya.

Adapun yang paling utama untuk diprogram dan direncanakan ialah memupuk bakat para anggotanya sejak awal lagi, membimbing dan meningkatkannya dalam berbagai bidang kehidupan seperti dalam sudut ilmu, syariat, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, penerangan, pemerintahan, statistik dan sebagainya untuk mengisi kekosongan dan memenuhi keperluan masyarakat. Dan perlu juga mengetahui dan mempelajari apa yang sedang dikejar oleh masyarakat beradab dan moden, seperti dalam dunia komputer dan senjata nuklear, alam luar angkasa dan teknologi canggih lainnya. Sekarang ini terjadi hal sebaliknya, mereka (golongan di luar Islam) sibuk dalam dunia yang setiap hari menambah hal-hal yang baru seolah-olah suatu lompatan dalam ilmu dan teknologi. Sementara kaum muslimin masih bertikai sama sendiri dan hidup dalam alam mimpi dan senda gurau, sedang umat lain bekerja keras. Kaum muslimin lebih banyak berbicara yang tidak mempunyai manfaat sedikitpun bagi dirinya dan umatnya.

Kita bekerja tanpa rencana dan program, sedang lawan-lawan kita tidak demikian, akhirnya hasil perjuangan kita jatuh ke tangan mereka, dalam keadaan kita tidak menyedarinya.


TERBURU BURU

Kita menanam pada pagi hari dan ingin memetik hasil pada petang harinya. Ini bertentangan dengan hukum Allah dalam alam yang sudah diterima oleh seluruh umat manusia. Segala sesuatu yang ada berjalan sesuai dengan ketentuan yang telah digariskan dan diproses menurut lazimnya.

BERLEBIH-LEBIHAN

Beberapa penyakit yang sering menjangkiti umat kita ialah suka bertindak berlebih-lebihan dan di luar hukum. Suatu perkara yang disesalkan dari kita iaitu, ketika menghadapi berbagai masalah, kita lebih suka berdiri pada salah satu hujung dari kedua kutub, iaitu paling kanan atau paling kiri. Jarang kita berdiri dan bersikap “tengah-tengah”, yang Allah puji untuk dijadikan tempat berpihak dan bersikap umat ini, seperti dalam firman Nya.

Terjemahannya: “Begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan” (al-Baqarah ayat 143 )

Penyakit ini telah menulari pergerakan Islam, sehingga sikap berlebih-lebihan memuji diri sendiri, berlebih-lebihan dalam mengecam lawan-lawannya dan berlebih-lebihan dalam berbagai kegiatan lainnya.

Para pemerhatit melihat pergerakan Islam moden dewasa ini sangat berlebih-lebihan menilai besar kekuatannya, berlebih-lebihan menilai kelemahan lawannya, terlalu meremehkan berbagai rintangan yang dihadapi dalam perjalananan, terlalu tinggi memuji diri, terlalu rendah menilai lawan, berlebih-lebihan kalau sedang cinta dan begitu pula kalau sedang benci.

TAKUT DENGAN PEMBAHARUAN

Inilah satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak senang pada pembaharuan, tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak menyenangi perkembangan dan perubahan.

MARI BERCITA-CITA DAN BEKERJA

Sebenarnya di sana ada harapan yang menggembirakan, menyonsong datangnya hari depan yang lebih baik dan menyedari sudut-sudut kekurangan merupakan langkah pertama dalam mewujudkan kesempurnaan.

SEBAHAGIAN KEJAYAAN PERGERAKAN ISLAM

Pergerakan Islam telah berhasil memperbaiki pemahaman-pemahaman Islam yang diperburuk oleh zaman jumud atau oleh masa penjajahan dan mengusir kebudayaan yang pernah menguasai gelanggang yang dikosongkan beberapa saat lamanya dan memperhambakan akal para cendekiawan umat kita.

Pergerakan Islam berhasil memulihkan masyarakat muslim rasa keperibadian Islam, rasa bangga menjadi anggota “Khaira ummatin ukhrijat lin naasi”, (umat terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia), sehingga tertanamlah dalam hatinya cita-cita akan lahirlah hari esok yang cemerlang, sesudah mengalami putus asa yang panjang akibat berbagai kekalahan dan kejatuhan, kerana pengaruh dari luar dan kezaliman dari dalam.

Pergerakan telah berhasil melahirkan suatu generasi muslimin dan muslimat yang patuh dengan ajaran Islam, baik dalam iktiqad, ibadah, fikiran, kelakuan baik, dakwah dan dalam jihad.

Pergerakan ini juga telah merekrut generasi masa depan yang patuh dan berdisiplin , yang sentiasa mendukung dan mencintai dakwahnya, menyatakan kepatuhan pada syariatnya, menolak kekafiran dan sekularisme.

Pergerakan Islam juga telah mempunyai kekuatan dalam mewujudkan apa yang diistilahkan sebagai “kebangkitan Islam” moden, yang meliputi para cendikiawan, baik lelaki mahupun wanita di seluruh penjuru tanah air kaum muslimin dan di luar dunia Islam , seperti Eropah, Amerika dan di Timur Jauh.

PERLU BANYAK KERJA DAN PENGORBANAN

Pergerakan Islam hendaknya beralih dari kegiatan berbicara kepada kegiatan bekerja, agar mampu membebaskan dirinya dari penyakit yang hampir menjadi penyakit umum kaum muslimin, yang selalu menjadi perintang bagi kita untuk melangkah maju, iaitu banyak menangisi masa lalu dan kurang kerja untuk masa kini. Kerana tangis kita itu tidak boleh menghidupkan yang sudah mati dan tidak mampu mengembalikan sesuatu yang sudah hilang.

Dalam menghadapi berbagai penyakit, ramai di antara kita yang mengeluh tetapi sedikit yang mengubati. Banyak yang mengutuk kegelapan dan sedikit yang menyalakan lilin.

Ya, kita terlalu berkeluh-kesah kerana sakit dan menderita, sehingga tidak ditemukan seorangpun yang tidak mengeluh, lalu apa yang harus menampung keluhannya itu? Kita semua berkeluh-kesah dan kita sendiri yang menerima keluhan-keluhan itu.

Pergerakan Islam dewasa ini perlu keluar dari lingkaran keluh-kesah dan mengumpat pada zaman lampau ke lapangan kerja, bekerja keras dan terus-menerus bekerja demi agama Islam, sesuai dengan tuntutan zamannya dan sesuai dengan apa yang dilakukan orang-orang lain terhadap agama mereka. Bekerja untuk masa kini, bekerja untuk masa depan, bekerja untuk membangun dan bekerja untuk memelihara bangunan itu dari tindakan penghancuran musuh.

BEKERJA UNTUK MEMIKAT TOKOH DAN MASYARAKAT

Pergerakan Islam hendaklah bekerja dengan sungguh-sungguh untuk memikat hati para tokoh dan masyarakat, untuk menghilangkan tembok pemisah antara pergerakan dan banyak tokoh intelektual dari satu sudut dan dengan masyarakat awam disudut lain.

Pergerakan Islam hendaklah bekerja keras membongkar pagar pemisahan dan menghancurkan tembok buatan dan mulai bekerja dengan semangat baru untuk menembus kalbu masyarakat, yang juga merupakan wadah mereka, dari mereka, kepada mereka dan untuk mereka. Masyarakat kita percaya dengan fitrah dan sejarahnya, mereka bersama pergerakan Islam dan akan selalu bersama mengumandang keimanan, seperti yang dapat dilihat dari fakta dan dengan membaca sejarah.

Pergerakan akan berjaya selagi ia merupakan pergerakan semua kaum muslimin dan bukan hanya pergerakan segelintir umat Islam.

MENYULUH KEBANGKITAN ISLAM

Di antara perkara yang melambatkan kebangkitan Islam :

Menjauhkan masyarakat dari Islam sebagai tatacara yang mengatur kehidupan, selama orang-orang yang menjadi objek dakwahnya dan calon anggota pergerakan kebangkitan merasa sulit dan berat mengikutinya, kerana yang dimudahkan Allah kepada hamba-Nya dipersulit mereka, bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w. yang menyatakan.

“Sesungguhnya kalian dibangkitkan untuk memudahkan dan tidak untuk menyulitkan”

Generasi yang merupakan tulang punggung kebangkitan Islam itu disibukkan dengan masalah-masalah remeh dan kurang berguna dengan mendakwahkan soal-soal furu’, suka berdebat dan bertengkar dan mengabaikan soal-soal besar yang menentukan, yang berkaitan erat dengan peradaban Islam, dengan dominasi umatnya, dengan pembebasan tanah airnya dan dengan pelaksanaan hukum syariatnya di muka bumi.

Pergerakan Islam disibukkan dan diadu domba satu sama lain. Seharusnya pergerakannya diarahkan kepada musuh yang dihadapi bersama, bukan bermusuhan antara satu dengan yang lain sehingga pada puncaknya mereka saling mengkafirkan.

Pergerakan telah memberikan kesempatan kepada penguasa yang sentiasa mengawasi pergerakan Islam, yang sentiasa dirundung rasa takut atau rasa benci, untuk memukul jatuh pergerakan Islam dan semua kerja keIslaman.

PANDUAN UTAMA PENYULUH KEBANGKITAN

Kita harus berpindah kepada perkara-perkara penting sebagaimana berikut:

1. Dari soal furu’ kepada soal usul dan universal

2. Dari kerja nafilah (sunnah) kepada kerja fardu

3. Dari hal-hal yang diperselisihkan kepada hal-hal yang disepakati

4. Dari kerja anggota tubuh kepada kerja hati

5. Dari kedua-dua sudut kelebihan dan kekurangan kepada hal-hal yang sedang dan normal

6. Dari sikap mempersulit dan menjauhkan orang kepada sikap mempermudah dan menggembirakan hati

7. Dari sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan renovasi

8. Dari fasa bicara dan debat ke fasa kerja dan memberi

9. Dari masa sentimen tanpa persiapan ke masa ilmiah berencana

10. Dari sikap fanatik terhadap orang-orang yang berbeza pendapat kepada sikap toleransi bersama mereka

11. Dari menggalakkan bekerja kepada menanamkan pengertian.

12. Dari memperhatikan soal-soal kuantiti kepada soal-soal kualiti, terutama dalam bidang pendidikan dan pengkaderan.

13. Dari melayang-layang ke langit impian turun ke bumi kenyataan (atau daripada menghulur idealisme lebih baik mengharap yang mungkin dan yang sudah ada).

14. Dari sikap meninggikan diri atas masyarakat kepada sikap hidup bermasyarakat (atau dari sikap menuduh dan memusuhi masyarakat berusaha menjadi tabib masyarakat).

15. Dari sikap yang hanya merenungi kejayaan masa lampau, kembali pada kenyataan masa kini dan mempersiapkan zaman yang akan datang.

16. Dari menghanyutkan diri dalam lapangan politik kepada memusatkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

17. Dari mengobarkan perselisihan yang menimbulkan pertentangan dan pertengkaran kepada perbezaan yang beragam dan bergotong-royong.

18. Dari mengabaikan masalah kehidupan kepada meningkatkannya dengan motivasi lillahi Ta’ala, sebagai amal ubudiyah.

19. Dari pandangan dan sikap yang regional yang sempit kepada wawasan universal yang luas.

20. Dari sikap ujub terhadap diri sendiri kepada sikap memeriksa diri.

KERJA KEMASYARAKATAN

Seharusnya pergerakan Islam terjun ke bidang kemasyarakatan demi mengabdikan diri kepada agama dan umatnya dan jangan sampai kegiatan politik hanya menghabiskan tenaga dan waktunya.

Lapangan dalam bidang kemasyarakatan tidak banyak digeluti oleh kaum muslimin, sehingga lawan-lawannya berhasil menguasai lapangan itu untuk menyebarluaskan agamanya yang menyimpang di tengah-tengah orang lapar, orang sakit, orang buta huruf dan di tengah orang-orang terlantar di antara anak-anak umat kita.

Itulah yang mendorong kami untuk membentuk suatu “Lembaga Sosial Islam Antarabangsa” yang bekerja dengan sekuat tenaga untuk memberi makanan bagi yang lapar, memberi pakaian bagi yang telanjang, memberi ubat bagi yang sakit, pemeliharaan bagi anak yatim, tempat berteduh bagi yang terlantar, pengajaran dan pendidikan bagi yang bodoh, kerja bagi para penganggur, latihan keterampilan bagi yang akan kerja dan berusaha keras dalam mengembangkan kemasyarakatan Islam dari dalam tubuhnya sendiri.

KERJASAMA LAPISAN MASYARAKAT

Sesungguhnya di antara penyakit yang menjangkit kita ialah, banyak penonton dan para penganggur yang hanya berpangku tangan menyaksikan kegiatan pergerakan, padahal wajib bagi mereka untuk bekerja dengan sekuat-kuatnya di lapangan masing-masing, seperti yang difirmankan oleh Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Katakanlah, hai kaumku, bekerjalah kamu menurut keadaan kamu masing-masing dan aku juga bekerja” (al-An’am ayat 135)

Maka hendaklah kita juga mampu menggerakkan kaum muslimin di seluruh dunia, agar mereka melakukan tugas kewajipannya di bidang masing-masing. Kaum lelaki, wanita, orang tua, anak-anak, orang kaya dan orang miskin. Yang penting semuanya bekerja, masing-masing memilih kerja yang sesuai dan selaras untuk dirinya. Siapa yang mampu membuang duri dari jalan, hendaklah ia membuangnya. Siapa yang biasa menabur benih di bumi, hendaklah ia menaburnya.

BAHAGIAN 3 : PENUTUP

Sesungguhnya kerosakan itu umum dan menyeluruh dan tanggungjawabnya dipikul bersama, meskipun masing-masing berbeza-beza pendapat.

Kalau kami mahu berterus terang, kami akan mengatakan, kerosakan itu terdapat dalam batin kita, dalam diri kita masing-masing, kerana kita terlalu mencintai kita. Kita masing-masing bertawaf di sekitar zat kita, seperti penyembah berhala dengan mengelilingi berhalanya, dalam usaha mencuci bersih diri sendiri dan menunding orang lain. Orang lain selain dari kita sendiri dipersalahkan sebagai yang bertanggunjawab. Kita melihat kotoran pada mata orang lain tetapi tidak melihat kayu pada mata kita sendiri.

Ya, kerosakan itu terdapat pada diri kita semua. Kaum muslimin dituntutnya untuk bekerja, sedang dia sendiri tidak, mereka diperintahkan berjihad, dia sendiri duduk, mereka disuruh menyumbang, sedang dirinya sangat kikir dan mereka dituntut untuk berkorban, sedang dia sendiri menontoninya.

Penyakitnya ada dalam diri kita semua, kerana semuanya beriman kepada Allah dan sekaligus tidak patuh kepada perintahNya. Kita mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi enggan mengikuti ajarannya. Ingin masuk ke syurga, tetapi tidak menempuh jalan-jalannya dan takut pada api neraka, namun senang menempuh jalan yang dapat menghantarkan ke neraka. Senang mengakui dirinya sebagai orang Islam, tetapi enggan bekerja untuk membela agamanya.

Sungguh berbahagia orang yang telah mulai dengan memperbaiki dirinya sendiri, kemudian mengajak orang lain.

Meletakkan tangannya dan berpimpingan tangan dengan semua orang yang sealiran, yang sefahaman dalam berbuat kebaikan, tidak jemu dengan apa yang dilakukan , tidak putus asa dengan apa yang dihadapi, percaya penuh pada dirinya, berbahagia dengan agamanya, beriman dengan Rabb-Nya, sentiasa mengharap bantuan Nya agar memenangkan kaum muslimin.

Adapun hal-hal yang memberi perangsang dan menguatkan harapan kita pada hari depan, antara lain:

1. Sesungguhnya kita ada di pihak al-Haq (kebenaran), yang dengan itu Dia telah menciptakan langit dan bumi.

2. Sesungguhnya kita ada di pihak fitrah Islam, yang Allah berkenan menempatkan manusia padanya, yang tiap-tiap hari berbondong-bondong orang kembali ke pangkuannya, mendapat hidayah sesudah hilang dalam kesesatan, bertaubat sesudah hanyut dalam maksiat, kembali insaf sesudah fikiran dan akhlaknya terbius hawa nafsu atau kembali sedar setelah lama terbuai nyenyak dan kembali bergabung dengan kafilah orang-orang yang kembali iaitu, bersama rombongan Islam.

3. Sesungguhnya kita bersama-sama bangsa-bangsa umat Islam, yang Islam sudah menjadi darah dagingnya, yang tidak mungkin dipisah-pisah dari kewujudannya, baik mental, spiritual mahupun sosial, yang tidak mungkin boleh hidup atau boleh mewujudkan dirinya sendiri, melainkan dengan Islam dan tidak mungkin boleh digerakkan oleh siapapun, seperti yang digerakkan oleh kalimah Islam.

4. Sesungguhnya kita bersama dengan kepentingan umat manusia, yang telah menderita sengsara kerana falsafah hidup manusia dan perundangan bumi.

5. Dan bersama kita sebelum dan sesudah itu semua pertolongan Allah s.w.t. yang berjanji akan menolong orang-orang yang menolong Nya dan menjamin akan memenangkan agama Nya di atas semua agama, meskipun orang-orang musyrik tidak senang, akan menyempurnakan cahaya Nya, meskipun tipudaya lawan terus dilanjutkan.


http://www.darulkautsar.net/article.php?page=2&ArticleID=411